Thursday, January 31, 2013

Aku Anak Gayong!!!

         Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Maaf rasanya sudah setahun saya tidak menulis di blog ini. Maaf atas kekangan masa dan peralatan. Kemasukkan artikel kali ini adalah untuk saya menceritakan perihal saya seorang ANAK GAYONG. Anak Gayong bermaksud menjadi anak murid dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Memandangkan tahun ini adalah ulangtahun sedekad saya bersama PSSGM. Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang saya dan Gayong.

          Saya memulakan pelajaran saya dalam Silat Seni Gayong ini pada tahun 2004 dan ketika itu saya berumur 13tahun iaitu tingkatan 1 di SMKA Sultan Muhammad. Belajar silat adalah cita-cita saya sejak kecil lagi. Memandangkan semasa kecil  dulu saya tidak berpeluang untuk menceburkan diri dalam Dunia Persilatan atas dasar umur yang terlalu muda dan tiada gelanggan silat yang dekat dengan rumah saya. Alhamdulillah, semasa berada di SMKA Sultan Muhammad, permohonan untuk saya menyertai Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia telah diluluskan dan Guru Pertama saya ialah Cikgu Ismail Jantan atau lebih mesra dengan panggilan Ayah oleh kami.

         Seperti anak Gayong lain mesti melalui adat perlimau tapak sebagai syarat untuk menjadi Anak Gayong. Saya diperlimau tapak oleh Ayah. Sejak dari saat itulah bermulanya hidup saya berGayong. Segala pahit manis, segala sakit lebam, suka duka ditempuhi dengan tabah. Masuk tahun 2004 bermula dengan bengkong hitam kosong. Belajar asas-asas gerakan, elakkan, lompatan, pentas, bunga dan lain-lain. Setelah cukup jam dan syarat, dapatlah melayakkan diri untuk mengabil ujian untuk bengkong Awan putih. Alhamdulillah lulus. Maka, akhir tahun 2004 saya telah memegang bengkong Awan putih. Ketika itu, saya tidak ingat siapa pasangan ujian saya, kalau tak silap Muaz. Maaf sahabat lama sudah tidak bersua.

           Tetapi setelah ujian lulus, ramai sahabat seperjuangan semasa mengambil ujian dulu tidak meneruskan perjuangan untuk mengambil Pelajaran untuk bengkong Pelangi Hijau. Oleh kerana minat yang jitu, saya meneruskan perjuangan tersebut dengan berpasangan dengan senior. Kalau tidak silap namanya Anas. Kami berhempas pulas menghabiskan pelajaran, cukupkan jam latihan dan memantapkan lagi segala-galanya yg sudah belajar. Akhirnya setelah ujian telah diambil, Alhamdulillah saya lulus dan memakai bengkong Pelangi Hijau pada akhir tahun 2005. 

            Setelah itu, seperti adat kebiasaan ramai juga sahabat yang tidak meneruskan latihan  untuk pelajaran Pelangi Merah atas alasan tahun tersebut kami akan berhadapan dengan peperiksaan besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tetapi saya tetap dengan tekad saya meneruskan latihan. Bagi saya kalau boleh menguruskan masa, Insya Allah isu tentang mengganggu fokus belajar tidak akan berlaku. Kali ini, saya berpasangan silat bersama sahabat yang bersama saya susah senang bersilat. Seorang senior yang saya hormati bernama Mohd Farhan Abd Latib.

           Ketika itu pada tahun 2006, saya bersama sahabat banyak mengharungi, "merantau" mencari ilmu persilatan. Tahun itu juga kami di Perlimau seni oleh Ayah. Satu upacara adat untuk bermula bermain senjata. Tahun tersebut boleh dikatakan tahun paling aktif saya. Masa luang kami bersilat, cuti minggu kami ke Masjid Tanah untuk berguru dengan Ayah dan gurulatih-gurulatih yang lain. Memenuhkan ilmu Kunci Mati, Serangan Maut, Seni Pentas Selayang Pandang dan Sepukal, pemusnah, mengambur, latihan itu dan ini yang tahapnya sudah semakin sukar lagi memeritkan setiap jiwa, raga dan sendi. Tahun tersebut kami mencari ilmu permainan senjata seperti simbat, pisau, parang dan lain. Kalau diikutkan ada sesetengah permainan bukanlah tahap kami, tetapi pasal minat dan ilmu punya pasal kami sanggup menjadi "lauk" demi untuk belajar. Impaknya kami mempunyai ilmu lebih daripada sahabat-sahabat setahap dengan kami. 

 Sedang khusyuk mendengar penerangan dari gurulatih. Muka nampak letih dan kepenatan. Sebelah tu la sahabat saya, yang sedang menongkat dagu tu. 

Kenangan Kursus Parang 2006. Hanya kami berbengkong Pelangi Hijau menjadi "lauk" kepada sahabat-sahabat senior lain yang "Baik". Hahaha. Sakit adalah sinonim bagi Silat. (Sakit=Silat)

          Alhamdulillah seperti pengalaman-pengalaman yang lalu,setelah cukup masa dan latihan, kami layak untuk menduduki ujian Pelangi Merah. Ujian yang bagi saya amat perit dan banyak dugaan yang ditempuhi. Kalau ujian Awan Putih dan Pelangi Hijau dahulu, ujian diadakan di Gelanggang Sultan Muhammad tapi ujian Pelangi Merah kali ini diadakan di Gelanggang Masjid Tanah. Ujian kali ini, kami bukan sahaja diuji dengan ujian fizikal malah psikologi juga turut diuji. Dalam ujian ini, saya mengalami kecerderaan dan tekanan yang amat perit tetapi Alhamdulillah atas berkat usaha,serta sokongan sahabat disisi berjaya juga kami memegang Pelangi Merah pada akhir tahun 2006.

            Tahun 2007 adalah tahun yang amat mencabar. Tahun sahabat sepersilatan mengambil SPM. Seperti biasa kami aktif bersilat, menguruskan gelanggang Sultan Muhammad dari segi latihan serta pengurusan. Boleh juga diktakan Zaman Kegemilangan Gelanggang Sultan Muhammad. Kerja-kerja melatih, merekrut ahli baru serta memimpin pelapis untuk menerajui Gelanggan Sultan Muhammad. Zaman dimana kami memimpin ramai ahli junior untuk mengambil Pelangi Merah. Kami menyangka yang kami akan terus memegang bengkong Pelangi Merah kerana niatnya untuk memantapkan lagi dan seperti biasa kami turut merantau mencari pelajaran-pelajaran untuk memenuhi kehausan ilmu.

            Tahun itu juga kami berhadapan dengan ujian kenaikkan bengkong yang bagi kami agak unik. Ujian yang tidak disangka-sangka. Penuh dengan dugaan dan cabaran. Saya tidak dapat bercerita dengan lebih spesifik kerana atas dasar kerahsiaan. Tetapi ujian kali ini amat susah, perit, panjang perjalanannya serta lebih bayak luka dan kesakitan. Akhirnya kami lulus dan memegang Bengkong Pelangi Merah Cula I. Itulah kualiti kami. Hanya saya serta sahabat saya yang mengenal peritnya Pelajaran Gayong yang kami alami. Betul tak Abg Farhan? Kenangan itu masih terpahat sehingga saat kami berpisah kerana Abg Farhan telah habis tingkatan 5 dan SPM.

              Tahun 2008, tahun saya berada ditingkatan 5 dan bakal menduduki peperiksaan SPM. Orang kata SPM tu peperiksaan untuk masa hadapan. Tetapi saya tetap dengan pendirian dan aktiviti saya, bersilat bagai nak rak. Zaman saya aktif makin memuncak-muncak. Pentabiran Gelanggang Sultan Muhammad yang bagi saya amat saya banggakan. Saya bangga dengan sahabat-sahabat yang bersama saya dalam membangunkan gelanggan tersebut. Sahabat saya, Aimee Kamar menguruskan hal-hal tentang pertandingan pencak silat merangkap SU, Mohd Suffian menguruskan tentang pentadbiran merangkap Bendahari dan saya menguruskan hal ehwal adat dan latihan merangakap Presiden ada waktu tersebut.

             Alhamdulillah saya amat bangga dan berterima kasih kepada kalian dan tidak lupa pada junior yang banyak membantu. Pada tahun itu juga saya mengalami peristiwa yang menyebabkan saya kurang aktif dalam dunia persilatan. Mereka banyak membantu pada masa saya tidak ada. Saya mengalami kemalangan dan akibatnya patah kaki kanan serta putus ligamen lutut. Tetapi hati saya tetap berGayong. Saya menjadi agak kecewa kerana tidak dapat menjadi aktif seperti dulu. Hari demi hari, tahun demi tahun tetapi saya sebenarnya amat bersyukur kerana semua ini adalah kurniaan Allah yang amat berharga bagi saya. Hikmah yang terselit jelas mematangkan saya. Allah Maha Adil yang mana memberikan sesuatu yang kita lebih memerlukan.

             Setelah beberapa lama, kini kerinduaanku mula berpencak. Aku Anak Gayong dan selamanya Anak Gayong. Walaupun kurang upaya sedikit tetapi tetap untuk kembali aktif. Insya Allah moga diberi rezeki oleh Allah sesuatu yang lebih baik daripada ini. Nukilan dan nasihat saya untuk anak-anak Gayong, janganlah berhenti sekerat jalan. Teruskan Usaha kalian walaupun ianya sedikit dan lambat. Kerana inilah harta kita untuk anak seagama, sebangsa, senegara dengan kita. Ajarlah mereka agar mereka tetap ingat yang kita susah dahulu baru dapat senang sehingga ketahap ini.


AKU ANAK GAYONG TERUS BERPENCAK WALAUPUN PUNYA KELEMAHAN


Senyumlah walaupun kita melalui jalan yang sangat pahit. Insya Allah